Potensi Gandingan Prabowo-Din

BH, 24/12/08

PILIHAN RAYA presiden pada April tahun depan sudah mencatatkan para calon iaitu Susilo Bambang Yudhoyono, Megawati Sukarnoputri, Wiranto, Sutiyoso, Sri Sultan Hamengku Buwono X dan Prabowo Subianto.

Yang menarik, ada kalangan calon belum menentukan siapa yang akan menjadi pasangannya menjadi calon naib presiden.

Mereka menunggu hasil pilihan raya anggota parlimen sebelum menentukan calon naib presiden masing-masing dan dengan parti politik mana mereka akan bergabung.

Menurut beberapa badan tinjauan Indonesia, antara tokoh yang layak menjadi calon naib presiden adalah Din Syamsuddin, Hidayat Nur Wahid dan Jusuf Kalla.

Anehnya, para calon presiden seperti Sri Sultan dan Prabowo juga didekati oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) untuk menjadi calon naib presiden Cik Megawati.

Pada hemat saya, penentuan calon naib presiden memang genting kerana akan mempengaruhi kepopularan calon presiden.

Cik Megawati dan Dr Yudhoyono (SBY) sudah disebut-sebut sebagai calon paling popular kini. Mereka tentulah akan berhati-hati memilih siapa rakan ganding.

Jika Dr Yudhoyono kembali mengganding Encik Jusuf Kalla (JK) sebagai calon naib presiden pada pemilu tahun 2009 nanti, maka Cik Megawati tentu tertekan.

Suasana politik Indonesia masih ditentukan oleh corak berikut:

· Islam-Nasionalis;

· Jawa-Luar Jawa; dan

· Tentera-Awam

Oleh itu, pasangan calon SBY- JK menjadi sangat ideal kerana memiliki ketetiga ciri tadi.

Pasangan ideal selanjutnya, menurut hemat saya, ialah Prabowo- Din Syamsuddin.

Mengapa demikian?

Jeneral Prabowo dikenal sebagai askar bersara daripada bahagian penting askar elit (Kopassus) dan mempunyai keutuhan tinggi.

Beliau mewakili kaum nasionalis sejati dan bersandarkan partinya, Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Beliau memang anak Jawa dan menantu almarhum presiden kedua Indonesia, Encik Suharto.

Profesor Din (atau nama penuhnya Sirajuddin) Syamsuddin pula memimpin badan Islam kedua terbesar, Muhammadiyah.

Beliau dipandang sebagai tokoh Muslim sederhana baik di Indonesia mahupun di pentas jagat.

Profesor Din berlatarkan awam. Beliau lahir di luar Jawa iaitu Sumbawa Besar pada 31 Ogos 1958.

Andai benar pasangan Prabowo-Din Syamsuddin mengisytiharkan pencalonannya, ia boleh mengatasi SBY-JK.

Pengalaman ketenteraan Jeneral Prabowo yang tegas dapat membawa ketenteraman di seluruh Indonesia.

Ia pula mengambil perhitungan keperluan awam Profesor Din.

Mentelah pasangan Prabowo- Din boleh dianggap muda, iaitu masing-masing berusia 58 dan 51 tahun pada tahun depan.

Batasan calon muda, sekitar 50 tahun, telah dipopularkan oleh Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Pasangan SBY-JK pula masing- masing berusia 60 dan 67 tahun pada tahun depan.

Parti Matahari Bangsa (PMB) sudah mencalonkan Profesor Din sebagai calon presiden dan bukan calon naib presiden.

Memang kedua-duanya belum rasmi mengisytiharkan diri.

Menurut Jeneral Prabowo, Gerindra akan mengisytiharkan calon naib presidennya setelah pilihan anggota parlimen pada April 2009.

Yang pasti, ketika Jeneral Prabowo berkunjung ke kantor Muhammadiyah Jakarta pada akhir November lalu, kedua-duanya saling memuji sebagai calon presiden yang sesuai.

Profesor Din mengulas dalam kunjungan itu:

‘Secara pribadi saya mengenal Prabowo luar dalam. Pak Prabowo sangat layak memimpin Indonesia.’

Begitu juga Jeneral Prabowo memuji balas dengan berkata:

‘Pak Din layak jadi capres (calon presiden) dan cawapres (calon naib presiden).’

Pasangan Prabowo-Din mungkin didukung oleh dua parti politik baru di Indonesia, iaitu Gerindra dan PMB (Parti Matahari Bangsa).

Menurut beberapa tinjauan, ada kemungkinan Gerindra akan mencalonkan Jeneral Prabowo menjadi presiden.

Iklan politik Gerinda di televisyen telah mengikrarkan akan mengangkat darjat masyarakat akar umbi seperti nelayan, petani dan masyarakat desa atau ‘wong cilik’ (orang kecil).

Profesor Din tentu mendapat sokongan besar daripada anggota Muhammadiyah yang tersebar di seluruh pelosok Indonesia

Namun, ada kekurangan pada pasangan Prabowo-Din.

Jeneral Prabowo dianggap terlibat dalam pencerobohan hak asasi manusia (HAM) di Timor Leste (sewaktu dalam proses mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia pada 2001).


Bagi rakyat kebanyakan, ada yang masih mengharapkan zaman aman dan mantap seperti zaman Encik Suharto lebih diutamakan.

Mereka tidak peduli apa itu ‘demokratisasi’ atau ‘pelanggaran HAM’ atau ‘otoritarianisme’.

Bagi mereka, yang penting rakyat dapat bekerja, hidup aman dan terjamin masa depan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: