Membrantas Preman

BH, 31/12/08

KEBELAKANGAN ini, ketua Polis Indonesia yang baru, Jeneral Bambang Hendarso Danuri, sedang menggalakkan program pembanterasan preman.

Saya tidak tahu sejak bila istilah ‘preman’ itu digunakan dalam bahasa Indonesia.

Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, ada ertinya. Pertama, ia merujuk ‘bukan seragam’ atau ‘ciri awam’. Kedua, ia menuding kepada orang jahat seperti perompak, pemeras dan sebagainya.

Yang pasti, ia kini lebih mempunyai erti negatif dalam bahasa Indonesia.

Kini, ‘preman’ dimaksudkan dengan susuk orang yang bercacah (tatu), bengis dan sanggup melakukan jenayah.

Mungkin awalnya kekata ‘preman’ diambil daripada bahasa Inggeris, free man, yang bererti orang yang bebas dan merdeka melakukan apa yang dikehendakinya.

Hanya saja kebebasan ini disalahgunakan dengan sesuka hati tanpa peduli terhadap hak asasi orang lain dan mengganggu ketertiban umum.

Di Indonesia, ‘preman’ dikaitkan dengan orang atau kumpulan yang suka memeras, membuat kekecohan di tempat umum, memeras wang atau bahkan membunuh.

Preman ini biasanya terdapat di pusat pertukaran bas, pasar atau pusat beli-belah. Beberapa kelompok preman sudah dikenal pasti dengan tempat khusus seperti preman Tanah Abang (berada di pasar Tanah Abang, Jakarta), preman Pulo Gadung (berada di pertukaran bas Pulo Gadung), dan juga preman Kampung Rambutan (pertukaran bas). Mereka tidak segan-segan meminta wang daripada pemandu kereta, pejalan kaki dan anggota masyarakat lain.

Bahkan preman juga berada di stesen kereta api atau dalam bas untuk menagih wang.

Kegiatan preman mengganggu pelancong dalam dan luar negara dan penduduk kampung yang berulang-alik ke kota besar seperti Jakarta.

Akibatnya, sebahagian kota Indonesia menjadi tidak selamat, apatah lagi untuk berjalan malam sendirian.

Ikrar ketua polis baru itu perlu disokong dan dihargai warga Indonesia. Tanpa kerjasama orang ramai, kempen ini mungkin sukar dijayakan.

Setakat bulan ini, operasi pembanterasan preman di Jakarta sudah memberkas ribuan preman.

Namun, ini baru permulaan. Kempen ini perlu terus dikembangkan dan digalakkan ke seluruh kota besar Indonesia.

Ertinya, ketua polis Indonesia perlu memerintahkan para ketua polis peringkat daerah (kapolda) agar ikut cergas memberantas preman.

Tentulah warga Indonesia berharap Jeneral Danuri tidak hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau ungkapan Inggerisnya, new broom sweeps clean (pegawai baru, tindakan baru).

Membanteras preman bukanlah baru. Ia berjaya dilakukan sepanjang zaman Orde Baru (semasa zaman Suharto). Malah pemerintah Suharto dikenal pasti melancarkan program ‘petrus’ (penembak misterius).

Petrus memang dianggap melanggar hak asasi manusia, namun ia amat berjaya mengurangi ancaman preman.

Ketika kempen Petrus, orang sanggup menghilangkan tatu agar tidak dikenal pasti sebagai penjahat.

Namun, ada juga kesangsian terhadap polis Indonesia yang kalangan anggotanya terjerat dengan rasuah sehingga tidak menegakkan hukum, malah secara halus menyokong kelompok preman.

Demi keadilan, polis juga perlu meneliti apakah mereka yang ditangkap sebagai preman itu memang terbukti melakukan jenayah. Mentelah, dalam suasana kemelesetan kini, ramai orang mungkin menjadi preman kerana terdesak. Misalnya, ada juga remaja nakal yang tidak mempunyai pekerjaan dan terus meminta wang di perhentian bas.

Oleh itu, polis perlu bekerjasama dengan lembaga rakyat dan pemerintah dalam kempen membanteras preman dan menyantuni masyarakat.

Kemiskinan juga menimbulkan kejahatan, apatah lagi dalam waktu kegawatan kini.

Oleh itu, mereka yang belum tercebur ke kancah preman hendaklah dibantu dengan pekerjaan, latihan kemahiran atau modal kecil untuk dapat menakat.

Penjara Indonesia tidak cukup besar untuk menerima preman terus-menerus. Oleh itu, preman yang ditangkap perlu dibantu agar kembali ke pangkal jalan. Mereka perlu diinsafkan, diberi latihan dan bantuan selepas keluar penjara.

Mudah-mudahan ikrar ketua polis baru Indonesia dapat menenteramkan masyarakat di kota besar. Namun, perjalanan bagi menjayakan impiannya memang jauh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: