Pemberantasan Korupsi: Harapan Kepada KPK

IMEJ BANTERAS RASUAH INDONESIA KIAN PULIH

BH, 08/10/08

ADA khabar baik bagi penanganan rasuah di Indonesia.

Pertubuhan bebas, Transparency International, dalam laporannya pada tahun ini, menyebutkan bahawa indeks tanggapan rasuah di Indonesia menjadi lebih baik.

Pada tahun lalu, Indonesia berada di tangga 143 di kalangan 180 negara yang ditinjau dan kini kedudukannya di tangga 126.

Mengapa kedudukan Indonesia menjadi lebih baik peringkatnya tahun ini?

Orang ramai berpendapat bahawa prestasi ini disebabkan oleh adanya keseriusan sebuah lembaga bernama Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dalam memerangi rasuah di Indonesia.

Lembaga itu dibentuk pada 2003 dengan matlamat mencegah, menyelidiki dan menuntut pihak yang sabit melakukan rasuah ke muka pengadilan.

Dalam tugasnya ini, KPK mempunyai visi ‘Mewujudkan Indonesia yang Bebas Korupsi’. Visi itu menunjukkan tekad kuat KPK membanteras rasuah di negara 248 juta jiwa dengan 88 peratus penduduknya Muslim.

Lembaga itu sekarang semakin dipercaya oleh masyarakat Indonesia untuk terus memerangi kejahatan rasuah di Indonesia.

Menurut hasil tinjauan persepsi KPK 2008, tercatat bahawa 69 peratus responden percaya KPK mampu membanteras korupsi.

Sehingga Julai 2008, terdapat 27,300 kes rasuah yang dilaporkan oleh masyarakat kepada lembaga itu.

KPK pun berani mendedahkan amalan rasuah oleh pegawai tinggi negara seperti anggota parlimen, Al-Amien Nasution, Peguam Negara Urip Tri Gunawan, rasuah aliran dana Bank Indonesia dan kes rasuah bekas ketua polis, Rusdiharjo.

Kes terbaru adalah penangkapan anggota Komisi Pengawas Persaingan Usaha (KPPU) M. Iqbal, yang diduga menerima suap daripada mantan Pengarah Utama Firstmedia Billy Sindoro.

Untuk membanteras praktik rasuah, KPK tidak hanya mengungkap dan menuntut ke pengadilan orang-orang yang diduga melakukan rasuah, bahkan KPK mendorong dimasukkannya pelajaran antirasuah di lembaga-lembaga pendidikan.

KPK juga terus mengkampanyekan dan mensosialisasikan gerakan antirasuah pada masyarakat secara umum.

Bahkan, untuk membuat pelaku rasuah jera (tidak mengulangi lagi), KPK memberlakukan pemakaian seragam khusus bagi mereka yang diduga melakukan rasuah.

Pemakaian seragam koruptor yang diusulkan KPK mendapat dukungan Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Encik Tifatul Sembiring.

Encik Tifatul bahkan mengusulkan bahawa: ‘Kalau perlu isteri dan anak-anaknya dibuatkan seragam yang sama. Dan biaya pembuatannya dibebankan kepada pelaku rasuah.’

Pemakaian seragam koruptor dapat menumbuhkan budaya malu kerana selama ini pegawai yang terlibat rasuah sudah tidak punya rasa malu.

Meskipun banyak orang optimis dengan gerakan KPK membanteras rasuah di Indonesia, ada juga yang masih meragukan keseriusannya.

KPK masih dipandang hanya menyelidiki kes rasuah yang nilainya kecil. Sebaliknya, kes korupsi yang nilainya amat besar seperti bantuan pencairan Bank Indonesia (BLBI) waktu krisis ekonomi 1997-1998 yang melibatkan tokoh besar perbankan, masih belum disentuh.

KPK juga dipandang masih ‘tebang pilih’ dalam penanganan rasuah di Indonesia. Terbukti, Aulia Pohan (besan Presiden Yudhoyono) yang diduga terlibat rasuah perbankan belum dijadikan tersangka oleh KPK.

Menurut pengamat daripada Pusat Kajian Anti Korupsi (Pukat) Universiti Gajah Mada, Encik Zainal Arifin, masih banyak perasuah yang dibiarkan lepas oleh KPK.

Menurutnya, dalam kes aliran dana kepada anggota parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat, DPR), Hamka Yandhu ditangkap, sementara Paskah Suzetta (Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional dan ketua lembaga pelaburan negara) dibiarkan.

Dalam kes Jabatan Peguam Negara, Jaksa Urip telah ditangkap tetapi teman sejawatnya, Kemas Yahya, masih lepas.

Di sebalik kekurangannya, pada hemat saya, usaha KPK perlu dihargai dan didukung.

Jika usaha KPK terus didukung oleh masyarakat Indonesia dan para pegawai negara lainnya, terutama Presiden Yudhoyono, saya yakin rasuah di Indonesia dapat dikurangi.

Usaha KPK perlu diteruskan, apatah lagi Presiden Yudhoyono sudah mengatakan bahawa pihaknya tidak akan melindungi baik keluarga, teman mahupun pegawai negara yang tersangkut rasuah.

Dr Yudhoyono mempersila KPK dan pejabat peguam negara untuk memeriksa sesiapa pun yang terlibat rasuah dengan adil dan tanpa pengecualian.

Di negara yang sudah parah amalan rasuahnya seperti Indonesia, memang tidak mudah menghilangkan ‘barah’ sosio-ekonomi ini.

Pembanterasan rasuah memang penting bagi kemajuan ekonomi di Indonesia dan membina keyakinan pelabur luar negara untuk menanam modal di negara ini.

KPK perlu gigih melanjutkan perjuangannya dengan tekal dan tidak ada pegawainya yang terpesona oleh pujukan.

Di tengah-tengah kemerosotan kepercayaan masyarakat pada lembaga-lembaga lain seperti Parlimen dan Pejabat Peguam Negara dalam membanteras rasuah, KPK bak ayam tambatan.

Jika KPK terus jujur dan cekap dalam usahanya, bukan mustahil bahawa prestasi pembanterasan rasuah di Indonesia akan terus meningkat pada tahun depan berbanding Singapura (kini di anak tangga keempat), Malaysia (47), Thailand (80), dan Vietnam (121).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: